Tetap Setia, Tetap Teguh Dalam Iman Kepada Tuhan
- Details
- Published: Tuesday, 22 August 2023 11:25
- Written by Patricia Didik
- Hits: 408
Shalom...saya bersyukur kerana berpeluang untuk berkongsi kebaikkan Tuhan di ruangan ini. Pada tanggal 17-24 Julai, saya mengikuti Pelayanan Doa di Gunung Murud. Tiga minggu sebelum pergi, saya mengalami sakit badan yang agak teruk. Saya mula berfikir untuk mengundur diri, kerana mana mungkin saya dapat ikut, sibuk membuat persiapan, sedangkan saya juga masih dalam keadaan yang ragu-ragu.
Pada satu malam, saya membaca satu kesaksian dari seorang budak yang sakit perut dan dia disembuhkan Tuhan. Saya terdorong dengan ayat Firman Tuhan yang dikongsikan budak itu iaitu Matius 7:7 “Mintalah maka akan diberikan kepadamu, carilah maka kamu akan mendapat, ketuklah maka pintu akan dibuka bagimu.” Saya berdoa kepada Tuhan dengan yakin bahawa saya sudah mendapatkannya dari Tuhan! Saya teringat satu lagu iaitu “Tak tersembunyi kuasa Allah, kalau lain ditolong saya juga, tangan Yesus terbuka, menunggulah, tak tersembunyi kuasa Allah”. Tuhan berkuasa ke atas hidup saya, jadi hanya Tuhan yang pasti dapat menyembuhkan saya. Begitulah doa saya, sehingga saya dapat menghadapi kesakitan yang saya alami dengan tenang.
Satu lagi pergumulan saya bila suami whatsap saya, menyuruh saya tarik diri kerana dia yang akan ambil cuti dan balik sini, sebab dia kerja di Lawas juga. Dengan rasa kecewa saya hanya mengatakan ‘okay’ kepadanya. Saya berkata sendiri “mengapa dia mengambil masa saya?” sedangkan kami sudah bincang perkara ini awal dan sama-sama bersetuju, dimana kami akan minta tolong nenek dan atuk mereka untuk menjaga anak-anak dirumah. Sakit belum sembuh tambah lagi yang ini…hmm… Saya ceritakan kepada anak yang sulung mengenai hal itu dan dia tidak membenarkan saya menarik diri. Ini yang membuatkan saya tidak hilang keyakinan kerana mendapat sokongan dari anak saya.
Pada malam doa gabungan saya minta bantuan doa dari kak Sitie dan kawan yang lain juga. Satu hal yang saya doakan kepada Tuhan iaitu sekiranya saya sembuh, saya pilih untuk tidak menarik diri. Pada pagi 13 Julai, saya merasa badan saya ringan dan segar. Puji Tuhan! Saya telah sembuh tepat pada hari lahir! Saya merasa sangat bersyukur dan gembira. Tuhan sangat baik! Terima kasih Tuhan… Dan saya pun mempunyai kekuatan untuk memberitahu suami saya bahawa saya tidak akan tarik diri. Ya...suami saya pun membenarkan saya pergi. Puji Tuhan! Dengan riang saya mengemas barang keperluan saya. Terima kasih kepda kawan-kawan yang telah mendoakan saya, Tuhan memberkati kalian semua.
Hari yang dinantikan telah tiba, penerbangan dari Kuching-KK. Kemudian dari KK-Lawas-Bakelalan menaiki kenderaan pacuan empat roda. Perjalanan yang agak jauh dan memenatkan lebih lagi jalan dari Lawas ke Bakelalan yang belum berturap. Sepanjang jalan turun naik dan agak curam, takut dan ngeri juga rasa di dalam hati.
Pada keesokkan harinya, kami meneruskan perjalanan ke Lepo Bunga. Dari situ kami mula mendaki dan terus mendaki melalui Bukit Cabaran, rasanya memang dah tak larat. Saya mohon kekuatan dan kesabaran dari Tuhan. Dengan perlahan kami sampai ke Jambatan Sukacita dimana ada besi disepanjang jalan. Ada lah tenang sikit berjalan, boleh nyanyi-nyanyi sikit...haha... Tak lama kemudian kami menuju ke Bukit Linanit dan untuk naik ke atas bukit itu harus naik tangga yang tinggi dengan keadaan tangga yang agak licin. Dengan perlahan kami sampai di atas. Sungguh indah pemandangan di situ dan di dalam hati saya memuji kebesaran Tuhan atas ciptaanNya. Kami berehat sekejap disitu. Lepas itu kami menyambung perjalanan dan akhirnya kami sampai ke destinasi! Gunung Murud!!
“Tetap setia, hari Tuhan mendekat”, adalah tema untuk tahun ini. Ada lima sesi sepanjang kebaktian dijalankan dari tanggal 19-21 Julai. Pertama kali masuk ke gereja saya merasa bahawa hadirat Tuhan disitu. Lebih lagi pada sesi ketiga, iaitu sesi berdoa menyerahkan segala persoalan yang perlu diselesaikan. Saat itu saya menyerahkan segala kekuatiran dan pergumulan kepada Tuhan. Saya merasa damai di hati bila saya berserah kepada Tuhan. Setiap sesi menuntut kita supaya tetap setia sampai akhir dan ini mengingatkan saya supaya saya tetap setia serta tetap teguh dalam iman kepada Tuhan... Amen.
Tuhan memberkati….
- Patricia Didik