BERSYUKUR ATAS PIMPINANNYA. HALLELUYA!!!
- Details
- Published: Tuesday, 22 August 2023 11:25
- Written by Catherine Sawai Anak Kaba
- Hits: 231
SHALOM…saya mengucap syukur kepada TUHAN atas pimpinannya. Pada 17 Julai hingga 24 Julai 2023 yang lepas, saya telah mengikuti rombongan dari gereja TMC ke Gunung Murud. Saya tidak tahu, apakah rencana TUHAN sekali lagi dalam hidup saya sehingga Dia memanggil saya untuk menyertai Pelayanan Doa ini di Gunung Murud? Mula-mula saya memberitahu suami agar membenarkan saya mengikuti Rev. Chan untuk pergi ke Gunung Murud untuk berdoa. Itu sahaja yang saya pasti, tetapi anak bongsu saya cuba menghalang saya untuk pergi kerana disebabkan faktor kesihatan saya. Kenapa mak mesti pergi? saya menjawab, tak tahu yang pasti saya nak ikut juga. Anak risau dengan saya lalu banyak pesanan yang si anak buat…ok, jangan takut saya menjawab, TUHAN ada bersama dengan saya, TUHAN itu sangat baik. Dia tidak akan meninggalkan saya keseorangan. Saya mula menyediakan keperluan saya dari awal Jun sehingga hari hendak berlepas, banyak yang perlu disediakan terutamanya “sleeping bag” dan baju tebal. Saya menjadi bersemangat hendak pergi mendaki dan tiap malam saya berdoa kepada TUHAN supaya TUHAN memberikan hati yang kuat, hati yang kental dan minta kesihatan yang baik dari TUHAN. Banyak perkara yang lain juga perlu minta dari TUHAN. Syukur Puji Tuhan, waktu mendaki tumit kaki tidak ada rasa sakit.
Pada hari kedua perjalanan kami mengikut perancangan yang telah dibuat, kami akan mendaki ke Gunung Murud pada 18 Julai, saya sangat bersemangat untuk mendaki bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain. Pada mula-mula perjalanan dari Lepo Bunga jam 9.00 pagi, kami dah mula mendaki dan terserempak dengan sekumpulan “Porter” orang yang mengangkut barang naik ke kem lalu kami minta bantuan mereka mencari batang kayu kecil untuk dijadikan tongkat semasa berjalan mendaki. Pada mulanya memang seronok mendaki belum ada rasa lelah, tetapi apabila semakin mendaki, semakin tinggi, jalan bukan kering tetapi banyak lumpur menyukarkan perjalanan saya. Di pertengahan di Bukit percobaan, saya telah mengalami kesukaran untuk mendaki, jadi saya suruh kawan-kawan jalan dulu (Utie dan Patricia), tinggallah saya berjalan sendiri. Saya tahu kemampuan saya di tahap mana, jadi saya ambil beberapa minit berjalan lepas tu rehat beberapa minit juga, kerana saya tidak dapat memaksa diri untuk mengikuti mereka yang lain. Makin saya paksa, semakin kepala saya makin pusing dan penglihatan saya makin gelap semakin tinggi saya mendaki. Dalam perjalanan ke Jambatan Sukacita, saya berdoa kepada TUHAN untuk bersama dengan saya, untuk meneruskan perjalanan, kerana sukar untuk saya mendaki yang ada tangga dan tali dekat kayu tangga tu terlalu jauh untuk digapai. Saya rasa mahu menangis dan rasa mahu pulang juga ada, tidak mampu untuk meneruskan perjalanan. Hanya satu Porter saja yang ada di belakang saya, dia pun tak mampu untuk menolong saya, bebanan di belakang dia juga berat. Jadi saya berdoa kepada TUHAN, mampukan saya TUHAN, Engkau yang merencanakan semua ini? Dengan sedaya upaya sekali lagi untuk mengapai tali itu dan akhirnya berjaya naik ke atas dengan bantuan tongkat kayu itu yang sangat-sangat membantu saya dalam perjalanan. Nafas saya pun rasa semput rasa tak bernyawa lagi, mahu pengsan rasanya pada saat itu. Tapi hati saya berdoa untuk terus kuat untuk menghabiskan pendakian itu ke Jambatan Sukacita. Tidak lama kemudian saya pun sampai ke peringkat yang kedua, iaitu “Jambatan Sukacita”, saya mengambil masa untuk berehat sebentar dan saya berjumpa dengan Rev. Chan dan Colin beberapa minit kemudian di Jambatan ini.
Pada peringkat kedua perjalanan ini diteruskan saya pun berjalan dengan Rev. Chan dan Colin, perjalanan di Jambatan Sukacita ini, tidaklah sangat mencabar bagi saya, kerana laluannya hanya mendatar sahaja, tidak lelah, di sini hanya ambil nafas dan boleh berjalan dengan santai-santai sahaja. Apabila kami bertiga berjumpa dengan Porter, kami akan tanya soalan yang sama dari Bukit Percobaan, “Masih jauhkah”? Mereka jawab masih tiga jam…saya jawab “Apu” lama betul belum sampai-sampai. Walaupun di Jambatan Sukacita ini tidak mencabar, tetapi pertengahan perjalanan ke Batu Linanit saya dan Colin mengalami kekejangan otot di paha dan kaki. Banyak masa juga diambil untuk berehat dan menyapu minyak urut ke tempat yang sakit. Lepas rasa ok sikit kami meneruskan perjalanan sampai ke peringkat yang ketiga di Batu Linanit. Selepas sampai kami berehat di bawah sambil duduk di tangga bersama-sama jemaah yang lain. Kami mengambil masa beberapa minit untuk meneruskan perjalanan untuk mendaki tangga di Batu Linanit itu. Di sini ada yang berpendapat sesiapa yang belum pernah pergi harus mendaki dengan menaiki tangga, ada juga yang berpendapat sesiapa yang sudah penat tidak mampu lagi untuk meneruskan perjalanan jangan mendaki menggunakan tangga, guna jalan Porter yang mengangkut barang, yang tidak memerlukan kekuatan yang tinggi. Jadi kami bertiga membuat keputusan untuk naik menggunakan anak tangga itu, Rev. Chan ada cakap dengan saya naik perlahan-perlahanlah jangan laju itu pesan dia kepada saya. Kalau ikut memang saya tidak mampu untuk mendaki dengan menaiki anak tangga itu, kerana terlalu tinggi, lutut saya pun susah mahu melangkah, saya masih mengalami kekejangan otot di paha sebelah kanan dan kiri, dua-dua sangat sakit. Saya mengaku saya memang menyerah sahaja, untuk mengikuti mereka berdua melalui jalan anak tangga itu. Saya berdoa kepada TUHAN agar memimpin saya dan kuatkan kaki dan kembalikan semangat yang berapi-api itu kepada saya. Saya mula melangkah anak tangga satu demi satu, saya adalah orang yang terakhir naik dan sampai terakhir juga di antara kami bertiga, saya berjalan dua atau tiga anak tangga lalu berhenti ambil masa rehat hingga sampai ke anak tangga terakhir. Hati saya gembira kerana anak tangga sudah habis saya langkahi dengan kekuatan walaupun tidak segagah orang lain. Akhirnya saya sampai di Batu Linanit. Saya ambil masa berehat, ambil gambar dan melihat pemandangan yang indah yang TUHAN ciptakan. Bersyukur kepada TUHAN atas ciptaan-Nya.
Di atas Batu Linanit, semasa kami mahu turun meneruskan perjalanan kami, ada seorang jemaah yang lain membawa kami untuk memuji dan menyembah lalu berdoa. Kerana katanya sesiapa yang pertama kali datang mesti berdoa kerana tempat ini adalah “KUDUS” tempat untuk berdoa. Kami pun nyanyikan satu lagu tak silap nyanyian Hym “Ajaib Tuhan” lepas tu kami berdoa. Doa yang terakhir tu saudara itu mahu saudari Colin yang Aminkan. Lepas menyanyikan lagu itu, kami masing-masing berdoa, saya berdoa sehingga saya merasakan roh kudus bersama dengan saya, saya menangis sambil berdoa, badan yang lemah disegarkan semula, saya mahu dilepaskan dari semua pergumulan saya, selesai kami berdoa, kami membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan sampai ke kem, kami pun turun, saya suruh Rev. Chan jalan dulu, lepas tu saya dan Colin. Belum lama kami meneruskan perjalanan kami, Rev. Chan suruh saya dulu berjalan dan dia dan Colin menyusul di belakang saya. Lepas turun dari Batu Linanit saya tidak ada lagi mengalami kekejangan otot, saya melihat saya bertenaga kembali untuk meneruskan perjalanan hingga tempat kem itu. Saya sampai tepat jam 3.00 petang. Saya duduk di atas batu dan mengucap syukur kepada TUHAN kerana telah sampai dengan selamat selama enam jam masa pendakian saya. Saya sampai di tempat penginapan Ibu Martina, saya memberitahu kepada saudari Patricia dan Colin, ini adalah pertama dan yang terakhir saya ke sini.
Pelayanan Doa Gunung Murud bermula dari 19 Julai sehingga 21 Julai 2023. Kami ada enam sesi, tiga Pengkhutbah iaitu Gr. Pudun Tadam, Rev. Dr. Henry Padin dan Pr. Bina Agong. Sesi pertama bermula pada pagi 19 Julai, kami awal dari masa yang ditetapkan kerana mahu mengambil tempat duduk kerana banyak juga jemaah lain yang sama pergi naik ke Gunung Murud ini. Sesi ini dimulai oleh Gr. Pudun Tadam, yang menyampaikan tema pada tahun ini yang diambil dari Lukas 21:17-38 “Tetap setia! Hari Tuhan mendekat.” Keenam sesi semuanya sangat bagus tema yang disampaikan, malah saya sangat diberkati semasa puji dan sembah setiap kali penyembahan setiap sesi, hati saya sentiasa disentuh oleh Roh kudus, saya berdoa kepada TUHAN dengan segenap hati saya lalu menangis dalam puji sembah itu. Saya betul-betul merasakan hadirat TUHAN hadir bersama kami. Boleh dikatakan kebaktian di Gunung Murud ini memang sangat luarbiasa dari kebaktian yang lain, kata-kata yang membangkitkan semangat saya adalah kata-kata dari Gr. Pudun semasa dia berdoa sebelum memulakan sesi pertama yang berbunyi “Hanya Tuhan yang benar, Tuhan ingin memberkati kita semaksimumnya, tempat yang benar dan perjanjian dengan Tuhan iaitu HandPhone kita. Kami disuruh membuat satu doa yang berbunyi “HandPhone tidak dapat menguasai saya, tetapi Tuhan yang menguasai saya”. Sekali lagi TUHAN tetap mengingatkan saya melalui ayat tema “TETAP SETIA”, saya mengucap syukur sekali lagi dan berdoa sambil menangis betapa TUHAN mengasihi saya, memanggil saya untuk “tetap setia” walaupun banyak yang saya hadapi atau lalui terutama dari segi kesihatan saya. Kerana saya tahu sebagai manusia biasa saya tetap kalah, tetap lemah tetapi di dalam TUHAN saya menang, TUHAN memberi saya kekuatan yang baharu, kadang-kadang saya tidak merasakan pergumulan yang saya lalui. Malah selama beberapa hari kami di kem itu TUHAN memang memberi sukacita kepada saya. Saya juga tersentuh tentang penekanan terhadap “Tetap Setia” iaitu teguh hati, tidak bebelah bagi, berpendirian teguh dan berprinsip tetap pada janji yang memberi maksud yang mendalam terhadap diri saya “Tetap Setia” yang sebenar.
Sesi yang terakhir adalah bertemakan “Kekudusan Teras Ketahanan Iman Di Akhir Zaman”. Tema ini juga sangat memberkati saya, dengan point yang kedua iaitu “Harus berakar di dalam firman diambil dari Kolose 2:7” Hendaklah kamu berakar umbi dalam Dia. Binalah hidup kamu, dengan Kristus sebgai asasnya. Hendaklah kamu semakin percaya kepada Kristus, seperti yang sudah diajarkan kepada kamu. Hendaklah hati kamu penuh kesyukuran.” Saya sangat-sangat terdorong dengan kata-kata yang disampaikan semasa khutbah di Gunung Murud, sangat memberikan saya kekuatan yang baharu dan sentiasa memperingatkan saya “Tetap Setia”. Jagalah dirimu dan berjagalah sentiasa dan sambil berdoa. Pada hari kami turun dari Gunung Murud, saya tidak ada mengalami kesukaran untuk turun dari Gunung itu, saya turun dengan bersemangat, macam badan rasa ringan dan dilepaskan dari segala bebanan. Semoga perkongsian saya kali ini dapat memberkati yang lain juga. Semoga ada inspirasi dalam pembacaan perkongsian ini. Saya bersyukur kepada TUHAN atas pimpinannya sepanjang perjalanan kami pergi dan balik dengan selamat walaupun sangat mencabar. Syukur Puji Tuhan. Semuanya dalam pemeliharaan Tuhan.
Amen
Sekian Terima kasih, Tuhan Memberkati.
Catherine Sawai Anak Kaba
17/08/2023