Tuhan Buka Jalan Bagiku
- Details
- Published: Tuesday, 22 August 2023 11:09
- Written by Utie Tugang
- Hits: 261
Shalom semua saudara saudari yang dikasihi di dalam Yesus Kristus, saya Utie dari pelayanan Bahasa Malaysia. Saya ingin mengongsikan kebaikan Tuhan sebelum saya pergi dan semasa saya pergi ke Gunung Murud.
Sebelum itu, saya ingin kongsikan satu ayat dari Firman Tuhan yang berbunyi “Janganlah khuatir akan apa pun, dalam segala hal berdoalah dan mintalah kepada Allah apa yang kamu perlukan”. Filipi 4:6. Kenapa saya mahu kongsikan ayat ini? Beberapa hari sebelum saya pergi, anak bongsu saya telah diterima belajar di Kolej Cyber Jaya Batu Kawa. Mula temuduga, mereka mengatakan boleh bayar separuh untuk masuk kolej, ok saya bayar separuh dan baki tu, saya akan bayar selepas saya balik dari Gunung Murud. Jadi saya tidak perlu keluarkan duit lebih dari apa yang saya sudah bajetkan. Saya juga perlu kirim duit untuk abang dia yang belajar di KK. Tetapi apa yang sudah dirancang manusia tidak selalu baik. Petang Selasa, anak saya (Vanessa) telah menerima mesej dari pihak Kolej Cyber Jaya mengatakan bahawa mereka harus membayar habis yuran masa mendaftar keesokan hari. Dari situ saya mula bergumul dan tidak dapat berfikir. Dalam hati saya memberontak kenapa harus begini macam mana saya mahu ambil duit sedangkan esok pagi sudah mendaftar. Dari situ saya mula bergumul dan mahu tarik diri dari ikut pergi Gunung Murud. Awal pagi Rabu itu, selesai saya masak jam 6 pagi, saya mengambil masa bersama Tuhan, saya tidak dapat mengeluarkan kata-kata, saya hanya berdoa dalam hati sambil menangis minta Tuhan buka jalan bagaimana dan apa yang harus saya buat. Saya juga sempat kongsikan dengan seorang kawan dan minta dia sokong saya dalam doa.
Ini adalah kali kedua saya ikut pergi ke Gunung Murud, pertama pada tahun 2013. Genap sepuluh tahun baru pergi lagi. Jadi saya ada pengalaman sedikit untuk pergi. Bukan mudah untuk mendaki gunung yang tinggi, yang banyak lumpur dan licin. Perlukan kesabaran dan tenaga yang kuat untuk mendaki. Waktu mendaki bukit pertama iaitu Bukit Cabaran memang sangat mencabar bagi semua, waktu saya mula rasa tidak kuat saya teringat akan satu doa dari salah seorang wanita pada tahun 2013, yang berbunyi “Tuhan jadilah kakiku dan jadilah tanganku”. Jadi saya mula berdoa menggunakan doa itu sambil mendaki. Puji Tuhan saya merasa kuat dan tenang, sampailah kami di salah satu tangga menuju Bukit Linanit. Sebelum sampai sana ada porter menyuruh kami buka kasut pakai stokin sahaja sebab licin. Kami cuba pakai kasut dan berjalan perlahan, setiap sepuluh anak tangga kami akan berehat seketika. Puji Tuhan kami sampai juga ke Bukit Linanit.
Segala Puji syukur hanya bagi Tuhan, kami lima orang telah mengambil empat jam untuk sampai ke Gunung Murud. Kalau sepuluh tahun lalu saya mendaki lima/enam jam, kali ini sangat luar biasa, Puji Tuhan.
Pada hari pertama kebaktian, saya sudah merasakan Tuhan betul-betul dekat dengan saya, macam ada sesuatu yang berkata lepaskan segala bebanmu, saya lupa sesi keberapa, kami disuruh berdoa untuk keluarga dan sebagainya, disitu saya mula berdoa menyerahkan semua pergumulan saya kepada Tuhan. Selepas saya serahkan semua pergumulan saya kepada Tuhan, saya rasa ada damai sepanjang kebaktian diadakan. Saya sangat diberkati, walaupun sebelum saya pergi ada masalah yang mengganggu tetapi Tuhan sangat baik. Dia buka jalan untuk saya. Kebaktian pertama, saya mendengar guru Pudun berkata “kita berada disini bukan secara kebetulan, tetapi kita datang kesini kerana Tuhan yang mengutus, Tuhan yang menghendaki. Jadi tetaplah setia bersama Tuhan, apa pun yang menghalang kita dalam panggilan Tuhan, Tuhan pasti menolong dan buka jalan untuk kita...Amen
Saya juga suka dengan satu lagu yang mereka bawa waktu kebaktian yang berbunyi:
OH HALELUYAH
Oh Haleluyah, oh Haleluyah, oh Haleluyah
Puji namaNya
Oh Haleluyah, oh Haleluyah, oh Haleluyah
Puji namaNya (oh Haleluyah)
Kasihnya kasih Tuhan
Sungguh indah bagiku 2×
Bagi kita se…mua
Ku bersyukur padaMu
Atas pimpinan RohMu
Dalam penyertaanMu
Setiap hari